PENGHASILAN replika senibina juga antara seni kreatif yang dihasilkan oleh Groundzero Studio. – UTUSAN
KUALA KANGSAR: Seni visual mampu menerangkan tentang sesuatu budaya, peristiwa dan sejarah ketamadunan bangsa kepada sesiapa sahaja.
Itulah yang menjadi dorongan beberapa anak muda di Manong, di sini melalui kumpulan mereka, Groundzero Studio (GZS) yang ditubuhkan sejak 2009.
GZS dianggotai oleh mereka daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi minat terhadap seni, khususnya penghasilan seni visual seperti lukisan, gambar dan replika.
Ketuanya, Syafiq Ali Am melihat seni bukan sekadar hiasan dan hiburan, malah merupakan kaedah penceritaan, pendedahan serta penyampaian ilmu kepada masyarakat.
“Kami berpegang kepada seni, pembangunan, teknologi, budaya dan pendidikan. Lima teras ini adalah haluan seni yang ingin dibawa,” katanya.
Karya seni yang dicipta oleh GZS bertujuan memberi imaginasi mengenai sesuatu budaya atau detik sejarah untuk dipamerkan kepada orang ramai.
“Kreatif seni turut digabungkan dengan teknologi moden,” kata Syafiq yang menjelaskan GZS banyak bekerjasama dengan agensi kerajaan, universiti serta komuniti untuk menghasilkan pelbagai reka cipta.
Terkini mereka dengan usahasama Komuniti Lenggong Geopark terlibat dalam pembangunan tapak arkeologi Lenggong, Perak sebagai tarikan pelancongan di situ seperti kesan debu gunung berapi yang dipercayai akibat letusan gunung berapi Toba di Indonesia beribu tahun lalu.
Keberadaan GZS di Kuala Kangsar juga mempunyai sebab tersendiri, kerana Bandar Diraja itu penuh dengan lipatan sejarah terutama kesan peninggalan penjajah serta warisan tempatan.
“Antara popular di sini ialah Labu Sayong. Namun tidak begitu diketengahkan. Banyak keunikan dan kraftangan tempatan yang perlu diangkat. Kami mahu guna kemahiran seni pelbagai disiplin untuk menaikkan warisan ini,” katanya.
Usaha Syafiq dan rakan-rakan tidak dibiarkan begitu sahaja, malah mendapat perhatian Kerajaan Negeri Perak yang menyalurkan Dana Kreatif Perak bagi menjayakan Projector Nusantara yang dimulakan pada tahun 2020, yang merupakan aktiviti kesenian yang menekankan kepada daya kreativiti melibatkan penganjuran pameran dan bengkel.
“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut mengangkat seni visual di bawah program Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online