ROZANITA (tengah) bersama anaknya, Aryanna Rezziyanie (kiri) dan Andrian Rifqi mengusahakan Auntie Rozz Kitchen yang menawarkan pelbagai menu makanan Cina.

Ipoh: Bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama tiga anak yang sedang belajar, pasangan suami isteri gigih menceburi bidang perniagaan makanan Cina sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat tahun lalu.

Rozanita Idris, 50, berkata, beliau dan suaminya, Muhammad Amirul Chang Abdullah, 58, pada asalnya bekerja sebagai operator kantin sekolah berbuat demikian selepas dua bulan pendapatan mereka terhenti sejak penutupan sekolah bagi mengekang penularan virus Covid-19.

“Ketika uruskan kantin sekolah, kami hanya fokus kepada masakan Melayu seperti nasi lemak.

“Kemahiran memasak makanan masyarakat Cina ini saya pelajari daripada suami saya yang juga mualaf dan ibu mentua saya,” katanya.

Rozanita berkata, beliau bersyukur kerana selain suami di sisi, ketiga-tiga anak mereka iaitu Andy Rifqi Chang, 23, Aryanna Rezziyanie Chang, 22, dan Andrian Rifqi Chang, 19, turut membantunya menguruskan perniagaan kecil-kecilan mereka ketika itu

Menurutnya, pada peringkat permulaan beliau cuba mempromosikan dua sajian sahaja iaitu wan tan hor dan chee cheong fun melalui laman Facebook atas jenama ‘Auntie Rozz Kitchen’.

“Alhamdulillah sambutan ketika itu cukup menggalakkan, kami lima beranak sama-sama masak di rumah dan hantar ke pelanggan sekitar daerah Kinta termasuk Klebang, Tanjung Rambutan dan kadang-kala ada permintaan dari Gopeng.

“Sepanjang berniaga di rumah, ada juga pelanggan yang cadangkan supaya kami tambah lagi menu dan buka kedai makan.

“Pada November 2021 barulah kami dapat miliki kedai sendiri di Station 18 Pengkalan, Ipoh dengan mengekalkan jenama ‘Auntie Rozz Kitchen’ ditambah pilihan menu juga dipelbagaikan seperti wantan mi kicap, dry chili pan mee, wan tan hor, lee see fun (mi tikus), kuetiau goreng Cina, dim sum dan wantan goreng,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, Rozanita berkata, kini perniagaannya dalam keadaan memuaskan, namun tegasnya itu bukanlah alasan beliau boleh kekal berasa selesa.

Jelasnya, beliau bercadang meluaskan lagi perniagaannya dengan penghasilan produk sejuk beku sendiri seperti wantan dan makanan sedia dimasak (ready-to-cook) susulan permintaan daripada pelanggan tetapnya.

Rozanita turut berterima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad atas pelan jangka panjang Perak Sejahtera 2030 yang membuka peluang luas kepada golongan usahawan sepertinya melalui program flagship Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan).

Atas inisiatif itu, katanya, beliau menerima bantuan sumbangan daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) bernilai RM12,000 yang dimanfaatkan dengan pembelian mesin pengadun (mixer), ketuhar dan dua unit peti ais.

“Bantuan itu saya terima ketika PKP, jadi ia sangat membantu dari segi meningkatkan penghasilan produk biskut Heong Peah dan kek bulan yang membolehkan saya penuhi permintaan pelanggan di samping menambah pendapatan keluarga.

“Dua unit peti ais dikhaskan untuk produk Leong Sui (air penyejuk badan) buatan sendiri seperti teh bunga, Lo Hon Guo campuran air mata kucing dan Pak Chee Chou yang ditempatkan di Kedai Auntie Rozz Kitchen supaya pelanggan dapat nikmati khasiat herba yang menyegarkan,” katanya.

Selain itu, Rozanita juga menyertai beberapa kursus Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu ‘1 Keluarga 1 Usahawan’ yang diterajui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

“Saya baru sahaja mengikuti kursus bagi mendapatkan pensijilan pengesahan HALAL dan pengiktirafan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) yang dianjurkan STeP pada minggu lepas.

“Melalui kursus sebegini, saya dapat pendedahan berharga mengenai kepentingan pensijilan bagi peluang pemasaran dan prosedur permohonan pensijilan yang terperinci,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau kini menyediakan kertas kerja bagi permohonan kelulusan sijil halal kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan MeSTI daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan.

“Selepas itu barulah saya akan meneruskan rancangan membuka bengkel khas untuk penghasilan air minuman penyejuk badan, biskut Heong Peah, kek bulan dan wantan sejuk beku.

“Mereka yang berminat untuk merasai keenakan makanan Cina Muslim bolehlah berkunjung ke kedai kami, Auntie Rozz Kitchen di Station 18 Pengkalan, Ipoh,” katanya.

Sumber : Harian Metro Online