SHAHRUL Azam Shaari (depan, tengah) bersama peserta Ziarah Koporat 2023 dan Pelancaran Aplikasi Zakat Perak di Taiping hari ini. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS

TAIPING: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melancarkan aplikasi Zakat Perak untuk kemudahan pembayar zakat daripada syarikat korporat dan individu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPK, Shahrul Azam Shaari berkata, aplikasi itu dilancarkan untuk kemudahan pengguna telefon mudah alih serta menarik minat syarikat korporat dan individu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka menunaikan zakat.

“Aplikasi itu boleh dimuat turun di gedung pelayar bagi pengguna telefon android sahaja buat masa ini dan aplikasi ini memiliki beberapa objektif.

“Melalui aplikasi ini, kita menyediakan sijil digital sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada syarikat dan individu di atas kesetiaan kepada MAIPk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Ziarah Koporat 2023 dan Pelancaran Aplikasi Zakat Perak di sini hari ini.

Sebanyak 28 buah syarikat yang terdiri daripada 60 orang menyertai program tersebut.

Menurut Shahrul Azam, aplikasi itu turut memuatkan logo beserta Kod QR sebagai platform hebahan dakwah zakat kepada prospek pembayar zakat perniagaan.

Menurutnya, ini membolehkan masyarakat untuk mengenal pasti syarikat yang telah membayar zakat dengan lebih mudah.

“Ia juga memberi akses kepada orang ramai menyemak syarikat yang telah membayar zakat kepada MAIPk selain pengguna juga mendapat info promosi barangan dan perkhidmatan perniagaan dari syarikat itu.

“Aplikasi ini disediakan dengan harapan untuk menarik lebih banyak lagi syarikat agensi dan individu untuk membayar zakat perniagaan dan konsisten menunaikan zakat dengan MAIPk bagi membela nasib asnaf dan negeri,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online