Hamidah bersama rangkaian produk kuih-muih sejuk beku jenama miliknya, Idda’s Frozen. – Foto Hamidah
GERIK: Kesusahan hidup termasuk pernah hidup sehelai sepinggang ketika pulang ke kampung suaminya di sini kira-kira 15 tahun lalu, tidak melunturkan semangat usahawan kuih-muih sejuk beku, Hamidah Sulaiman, 49, bangkit mengubah kehidupannya sekeluarga.
Ibu enam anak ini berbangga apabila syarikat diusahakan sejak 2102 terus berkembang dan berjaya membina jenama Idda’s Frozen yang mengetengahkan lebih 20 kuih-muih sejuk beku seperti karipap, samosa, donat, muffin, masala wadih, pulut panggang, dan sebagainya selain roti canai sejuk beku.
Hamidah juga mempunyai premis jualan di pekan Gerik yang dibuka sejak 2019 dan sebuah kilang pembuatan produk di Batu Gajah sejak Mac lalu, sekali gus dapat memenuhi permintaan pasaran di Perak, Perlis, Pulau Pinang, Johor serta Lembah Klang.
“Sebelum ini saya sekeluarga menetap di Johor, tetapi terpaksa berhijrah pulang ke kampung suami di sini, dalam keadaan sehelai sepinggang akibat masalah dialami ketika itu.
“Suami ketika itu hanya melakukan kerja kampung dengan tiada pendapatan tetap, manakala saya pula tidak dapat bekerja kerana perlu menguruskan anak yang masih kecil ketika itu.
“Kehidupan kami agak susah sampai tak boleh hendak membayar bil air serta elektrik, malah hampir dihalau keluar dari rumah disewa. Dari situ saya terdetik, mencuba ubah nasib keluarga dengan berniaga secara kecil-kecilan membuat kuih dari rumah,” katanya.
Menerusi kursus mempelajari pembuatan kuih termasuk samosa, roti canai, mini pizza dan sebagainya pernah diikuti sebelum ini, Hamidah cuba mempraktikkan apa dipelajarinya.
“Tak sangka, kuih yang saya buat dan jual mendapat sambutan. Saya mula nampak perniagaan ini boleh berkembang lagi jauh. Saya menambah lagi bilangan jenis kuih dan membekalkannya ke pasar serta sekolah berasrama sekitar Gerik.
“Kemudian, saya nampak pula kuih-muih yang dihasilkan boleh disejuk bekukan, lebih-lebih lagi apabila melihat berlaku pembaziran terhadap lebihan kuih saya yang tidak terjual. Jadi, saya beralih kepada pembuatan kuih secara sejuk beku,” katanya kepada BH.
Katanya, jualan produknya meningkat saban tahun mencecah enam angka sejak premis kedai di Gerik. Sepanjang tahun lalu, jualan sebanyak RM411,000 dicatatkan berbanding RM356,000 pada tahun sebelumnya, pada 2021 dan 2020 jualan melebihi RM100,000.
Hamidah berkata, pembabitan bersama agensi kerajaan negeri terutama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), selain Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sebagai antara agensi peneraju dalam mencapai agenda pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut banyak membantunya.
Katanya, selain sarat dengan bimbingan dan khidmat nasihat kepada usahawan sepertinya terutama dalam memperkenalkan latihan serta kursus yang diperlukan selain jaringan rantaian, pembabitan bersama STeP juga membantunya mendapatkan pinjaman pembiayaan RM40,000 daripada Perak SADC ketika pandemik COVID-19 melanda.
“Perak SADC juga banyak membantu ketika kami mula buka kedai di Gerik dengan memberi bantuan pinjaman khusus untuk membeli peralatan mesin bernilai RM32,000,” katanya.
“Saya juga menerima bantuan RM8,000 dalam bentuk wang tunai yang digunakan untuk modal pusingan membeli bahan mentah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.
“Ketika PKP, banyak kedai ditutup dan saya pula perlukan bahan mentah untuk bertahan. Jadi saya gunakan wang tunai RM8,000 itu untuk membeli barang mentah. Hasilnya, ketika PKP saya tetap boleh meneruskan perniagaan dengan lancar selain peralatan mesin membanyakkan lagi penghasilan kuih,” katanya.
Sumber : Berita Harian Online