Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Polis sudah merakamkan keterangan seorang wanita berhubung video tular yang disunting mengenai sebahagian kecil titah diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Video itu memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin yang dizahirkan pada 19 Februari 2013, ketika baginda bertitah pada Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan ‘Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti dan Cabaran’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata video yang disunting itu dilihat mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian.

“Setakat ini sebanyak 24 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung penularan video berkenaan dan seorang wanita berusia lingkungan 46 tahun sudah dirakam percakapan di Balai Polis Cyberjaya, sekitar jam 2.30 petang tadi.

“Siasatan bersabit penularan rakaman video Sultan Perak itu diolah seakan menyokong sebuah parti politik,” katanya kepada BH sebentar tadi.

Menerusi video itu, seorang individu dipercayai wanita yang juga pemimpin Muslimat PAS Melaka cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap PAS dalam klip video berkenaan.

Semalam, Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak, turut membuat laporan polis berhubung video yang tular itu.

Dewan Negara Perak menerusi kenyataan ditandatangani Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dilaporkan berkata, pihaknya percaya pihak yang memetik dan menularkan semula titah Sultan Nazrin pada tahun 2013 itu adalah dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos ini.

Sumber : Berita Harian Online