Razarudin.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan wanita terlibat dalam video tular yang disunting sebahagian kecil titah diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, diambil keterangan hari ini.

Kandungan video tersebut dilaporkan telah disunting hingga dilihat mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian.

Razarudin berkata, setakat ini ada 24 laporan polis diterima pihaknya berkaitan video berkenaan.

“Seorang wanita berusia lingkungan 40-an akan dirakam percakapannya di Balai Polis Cyberjaya, kira-kira pukul 2.30 petang, hari ini.

“Siasatan bersabit penularan rakaman video Sultan Perak yang diolah seakan menyokong sebuah parti politik,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Video tular itu memaparkan seseorang wanita dipercayai pemimpin Muslimat Pas Melaka cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap Pas dalam klip video itu.

Terdahulu, Pejabat Sultan Perak membuat laporan polis berhubung satu video tular disunting sebahagian kecil titah diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dilihat mengaitkan kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dilaporkan berkata laporan polis dibuat pada Sabtu lalu demi melindungi nama baik Sultan Nazrin daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak bagi meraih laba politik.

Katanya, petikan titah Sultan Nazrin pada 2013 itu ditularkan dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi menyokong sebuah parti politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menurutnya, Sultan Nazrin tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik.

Beliau menyifatkan video berkenaan sangat tidak beretika dan perbuatan itu tidak sopan kepada seorang Raja Pemerintah dan sudah mencemarkan nama baik takhta.

Sumber : Kosmo Online