IPOH – Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita kira-kira 4,000 liter minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan minyak diesel pada Khamis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perak, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, operasi tersebut dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak sekitar jam 2.50 petang di sebuah kilang membuat bumbung di Kawasan Perindustrian Kanthan, Chemor di sini.

Menurutnya, operasi itu dilakukan hasil risikan dilakukan anggota penguat kuasa selama seminggu.

“Ketika serbuan dilakukan, didapati premis ini sedang beroperasi menjalankan perniagaan membuat bumbung. Seorang lelaki warga tempatan berumur 40-an mengaku sebagai pengurus premis turut berada di tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis menemui sebuah skid tank berisi 4,000 liter cecair disyaki minyak diesel berada di dalam kawasan premis,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat

Mohamed Aznanshah berkata, ketika pemeriksaan, lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel apabila diminta.

Katanya, susulan itu kesemua barangan seperti dokumen dan cecair yang disyaki minyak diesel tersebut telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM11,000.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan ke atas syarikat pembekal minyak diesel ini dan tindakan penguatkuasaan akan dikenakan ke atas pembekal kerana menjual barang kawalan kepada orang atau pihak yang tidak mempunyai lesen atau surat kuasa atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

“KPDN ingin memberikan amaran keras dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyalahgunaan barang- barang kawalan ini,” katanya.

Sumber : Sinar Harian Online