Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan anugerah kepada atlet muay thai, Mohamad Rifdean Masdor dan atlet berbasikal, Nyo Chi Hui yang dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati negeri Perak bagi 2021-2022. – Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

IPOH: Atlet muay thai, Mohamad Rifdean Masdor dan atlet berbasikal, Nyo Chi Hui dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati negeri Perak bagi 2021-2022.

Kejayaan itu membolehkan masing-masing membawa pulang hadiah sepasang blazer, wang tunai RM7,000, plak, dan piala iringan dalam majlis Anugerah Sukan Negeri Perak (ASNP) di Hotel Casuarina, di sini, malam ini.

Anugerah disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis itu bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah.

Mohamad Rifdean memenangi pingat gangsa bagi kategori lelaki 48kg dalam Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2021 turut memenangi pingat emas menerusi kategori 48kg dalam IFMA World Championship Abu Dhabi 2022 dan Kategori 48kg dalam IFMA World Championship Bangkok 2021.

Manakala, Chi Hui memenangi pingat emas menerusi acara Scratch Race dan pingat perak dalam acara Omnium and Team Sprint dalam Asia Cycling Championship ACC 2022.

Sementara itu, pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi diumumkan sebagai penerima Anugerah Olahragawan Harapan manakala Anugerah Olahragawati Harapan 2021/2022 dirangkul oleh Shihomi Leong Li Xuan dari sukan tenis.

Mereka berdua masing-masing menerima piala dan insentif bernilai RM3,000.

Jurulatih kepada Mohamad Rifdean, Bernand Anak Radin turut merangkul anugerah iaitu Anugerah Jurulatih Terbaik yang melatih Mohamad Rifdean dalam sukan muaythai, sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai RM2,000 dan piala.

Anugerah Pasukan Terbaik jatuh kepada Pasukan Hoki Piala Tun Abdul Razak dengan membawa wang tunai RM10,000 dan piala.

Bagi atlet para, Anugerah Khas Atlet Para Terbaik Lelaki 2021/2022 dianugerahkan kepada Mohammad Ashraf Mohd Haisham (olahraga) manakala Anugerah Khas Atlet Para Terbaik Wanita 2021/2022 dirangkul oleh Nur Jannaton Sarnoh (memanah).

Mohammad Ashraf dan Nur Jannaton masing-masing membawa pulang insentif bernilai RM7,000 dan piala.

Sumber : Berita Harian Online