Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (empat dari kanan) merasmikan Menara Telekomunikasi Kota Tampan pada 8 September lalu. FOTO IHSAN DIGITAL PERAK.
Ipoh: Perak kini memiliki 413 struktur telekomunikasi dengan pemancar rangkaian 5G yang menjanjikan pemindahan data lebih pantas, ketumpatan sambungan lebih tinggi dan latensi yang jauh lebih rendah.
Latensi adalah masa yang diperlukan untuk data dipindahkan antara sumber asal ke destinasinya yang diukur dalam milisaat.
Lebih rendah latensinya bermakna lebih pantas pemindahan data dan lebih baik pengalaman pengguna.
Itu adalah sebahagian tanggungjawab Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) yang berperanan khusus memacu pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi digital di negeri itu sejak penubuhannya pada 2015.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir berkata, sehingga suku kedua tahun ini terdapat 2,036 struktur telekomunikasi yang beroperasi di seluruh Perak dengan capaian liputan mudah alih 4G mencapai sasaran 97.38 peratus di kawasan berpenduduk di negeri itu.
“Ia termasuk struktur telekomunikasi di kawasan luar bandar melalui inisiatif Pelan Jendela Digital Negara (Jendela).
“Daripada sejumlah 2,036 strukur telekomunikasi sedia ada itu, sebanyak 413 strukur sudah ditempatkan antena pemancar 5G dan mempunyai liputan 5G.
“Selain itu, 81 struktur telekomunikasi baharu yang dirancang pembinaan di bawah perluasan 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB),” katanya.
Menurut beliau, Digital Perak adalah agensi yang menyelaras segala permohonan berkaitan pembangunan berkenaan terutamanya pembinaan pencawang telekomunikasi.
“Perancangan penempatan struktur telekomunikasi baharu dilaksanakan secara terus oleh pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Ini meliputi perancangan bagi menyelesaikan isu ketiadaan liputan di kawasan perluasan sedia ada (Coverage Loop Hole), aduan penduduk dan maklum balas daripada pemimpin setempat.
“Digital Perak turut memainkan peranan dengan memberikan maklum balas berkaitan perancangan ekonomi kerajaan negeri bagi kawasan pendudukan baharu termasuk perancangan kawasan industri baharu, tempat tumpuan pelancong dan kawasan sedia ada yang dilaporkan menghadapi masalah liputan,” katanya.
Mohamad Suhaimi menjelaskan, manfaat ketersediaan liputan internet meluas itu akhirnya dinikmati rakyat melalui aktiviti ekonomi digital serta penambahan mutu komunikasi.
Digital Perak adalah antara peneraju utama flagship Ekonomi Digital dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan ilham Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad bertujuan memacu pembangunan sosiekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik.
Sumber : Harian Metro Online