LORONG Concubine yang menempatkan pelbagai restoran dan kedai menjual cenderamata menjadi antara lokasi tumpuan pelancong yang melawat bandar raya Ipoh. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
IPOH: Sebanyak 120 acara disenaraikan dalam kalendar pelancongan Perak untuk memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata, acara tersebut diadakan di semua daerah merangkumi aktiviti peringkat daerah, negeri dan antarabangsa yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan.
Menurutnya, acara yang diadakan itu merangkumi pelancongan berasaskan warisan, makanan, alam semulajadi, percutian keluarga, kraftangan dan pelbagai segmen pelancongan yang lain.
“Acara yang disusun dalam kalendar pelancongan Perak sejajar dengan matlamat mencapai sasaran kedatangan lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa.
“Perak menawarkan pelbagai segmen pelancongan menarik dan sesuai mengikut minat dan kecenderungan pelancong termasuk yang bercuti bersama keluarga.
“Senarai semua 120 acara dalam kalendar pelancongan Perak sempena Tahun Melawat Perak 2024 boleh diakses di laman web Tourism Perak,” katanya.
Menurutnya, Tourism Perak sudah bersedia sepenuhnya untuk menjayakan Tahun Melawat Perak dan yakin Perak akan menjadi pilihan percutian, seperti yang diharapkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Nurmalis optimis dapat mencapai sasaran lapan juta pelancong, malah yakin kedatangan pelancong melebihi sasaran yang ditetapkan.
“Kami mengharapkan satu pulangan yang baik dari sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2024. Walaupun kita sasarkan lapan juta pelancong termasuk pelancong yang bermalam, dalam masa yang sama kita mengharapkan jumlah yang datang lebih daripada itu.
“Apatah lagi bandar raya Ipoh dan Perak amnya bukan lagi sekadar menjadi tempat pelancong singgah untuk menikmati makanan.
“Melalui promosi yang kita jalankan, trend itu sudah berubah sebaliknya semakin ramai pelancong yang memilih untuk bermalam di negeri ini, sekurang-kurangnya untuk satu malam.
“Berdasarkan trend itu, kami percaya jumlah kedatangan pelancong mampu melebihi sasaran yang ditetapkan. Saya percaya usaha kerajaan negeri memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024 akan berjaya, sejajar dengan inisiatif yang digariskan di bawah program Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online